BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, November 19, 2011

Pergerakan Lokomotor



PERGERAKAN
Pergerakan yang dilakukan oleh seseorang itu akan menyebabkan dia berubah kedudukan atau kekal di tempat tersebut. Pergerakan lokomotor ialah pergerakan yang menyebabkan keseluruhan tubuh badan berubah kedudukan seperti berjalan dan berlari disebut bergerak dan beredar. Manakala pergerakan yang tidak mengubah kedudukan disebut bergerak tanpa beredar pula dikenali sebagai pergerakan bukan lokomotor. Pergerakan bukan lokomotor lebih tertumpu kepada pergerakan bahagian tubuh badan pada sendi buka-tutup dan pusing putar.

Pergerakan-pergerakan tersebut boleh dikoordinasikan bagi manipulasi dengan alatan seperti melambung, membaling, menggolek dan menampar alatan kecil atau besar. Pergerakan-pergerakan ini dapat diaplikasikan sebagai rutin harian sama ada dalam tugas seharian ataupun dalam aktiviti sukan dan rekreasi.

Bagi meningkatkan potensi kreativiti murid dalam melakukan pergerakan khasnya menginterpretasi idea, perasaan serta tanggapan deria yang dilahirkan secara simbolik, pendekatan pergerakan kreatif digunakan. Pengalaman pergerakan kreatif dapat memperkembang kesedaran dan kefahaman konsep-konsep pergerakan.
Pergerakan secara kreatif dapat dilakukan dengan menyerapkan empat aspek pergerakan, iaitu :
1. Ruang
Ruang ialah kawasan yang digunakan semasa melakukan pergerakan. Ia terbahagi kepada dua iaitu ruang diri dan ruang am. Ruang diri ialah ruang setempat yang mengelilingi individu sejauh mana yang boleh dicapai oleh bahagian tubuh badan. Ruang am ialah kawasan yang digunakan secara keseluruhan semasa melakukan pergerakan. Ruang diri dan ruang am meliputi bahagian kawasan seperti :
a) aras - tinggi, sederhana, rendah
b) arah - hadapan, belakang sisi, atas, bawah
c) aliran - awangan, lantai, lurus, berliku-liku, zig-zag
d) ekstensi - mengecil, membesar

2. Masa
Pergerakan boleh dilakukan dengan pelbagai kelajuan seperti cepat, lambat, kawal-lambat dan serta-merta. Kelajuan sesuatu pergerakan ditentukan dengan keadaan ruang yang ada seperti ruang diri, ruang am dan ruang yang dilengkapi dengan alat-alat.
a) Serta-merta - Pergerakan dilakukan dalam masa yang singkat. Pergerakan ini cepat, tegas, spontan dan dinamik.
b) Kawal-lambat - Pergerakan yang perlahan, mengambil masa dan dapat dikawal. Lakuannya lambat, licin, beralun dan berayun, boleh dirasakan sebagai sesuatu yang tidak perlu cepat atau tergesa-gesa.
3. Beban
Aspek beban merupakan kualiti pergerakan seperti kuat, lembut, ringan dan tenang. Kualiti pergerakan ini dapat dihasilkan dengan cara mengawal kekuatan dan keupayan otot semasa melakukan pergerakan.
a) Halus-ringan - Lakuan pergerakan yang lembut, halus dan sensitif menggunakan kekuatan otot yang ringan semasa bergerak bebas dan setempat.

b) Berat-kuat - Lakuan pergerakan yang tegas, kuat, bertenaga dan pantas. Memerlukan tenaga dan menggunakan otot-otot yang kuat.

4. Aliran
Aspek aliran merupakan beberapa pergerakan dirangkai dengan berturutan, berterusan dan licin. Rangkaian pergerakan boleh dilakukan secara aliran bebas dan aliran terikat.


2.0 MATLAMAT
Memberi pendedahan dan latihan kemahiran pergerakan lokomotor dan bukan lokomotor.
Meningkatkan kemahiran koordinasi dan pergerakan kanak-kanak.
Mendorong kanak-kanak untuk memahami pertalian antara pergerakan asas dengan elemen-elemen pergerakan ( ruang, masa, kuasa ).
Meningkatkan kecergasan fizikal dan mental kanak-kanak.



3.0 OBJEKTIF

Meneroka cara pergerakan dengan menggunakan berbagai-bagai bahagian tubuh badan.
Melakukan kemahiran motor dengan cara yang betul untuk menjaga postur yang baik.
Bergerak secara kreatif dengan menyerapkan empat aspek pergerakan iaitu ruang, masa, beban dan aliran.
Mengamalkan aktiviti fizikal sebagai rutin harian.
Mengkoordinasi bahagian tubuh badan bagi manipulasi alatan.
Melahirkan perasaan dengan menginterpretasi idea secara simbolik melalui pergerakan.
Berasa riang, seronok dan yakin melakukan pergerakan.
Mengisi masa dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah.


4.0 Jenis-jenis pergerakan yang ada dalam pergerakan kreatif
4.1 Pergerakan lokomotor
Pergerakan lokomotor ialah pergerakan yang menyebabkan keseluruhan tubuh badan berubah kedudukan dari satu tempat ke tempat yang lain. Pergerakan lokomotor menyokong perilaku pergerakan yang dirancang dan berkaitan dengan gerakan atau aliran. Jika pergerakan lokomotor digunakan dalam persembahan kita akan dapat melihat arah gerakan dalam persembahan itu. Terdapat pelbagai cara pergerakan badan dalam gerakan lokomotor, gerakan ini melibatkan arah, aliran, haluan dan masa. Pergerakan lokomotor juga merupakan dasar yang menyokong pelaku berubah kedudukan mengikut pergerakan. Contoh pergerakan lokomotor ialah berjalan, berlari, melompat, melompat ketingting, lari sisi, skip, merangkak, guling hadapan, guling balak, guling sisi dan galop.
4.2 Pergerakan bukan lokomotor
Pergerakan bukan lokomotor ialah pergerakan yang tidak mengubah kedudukan atau juga disebut sebagai pergerakan dalam keadaan statik dan ia lebih tertumpu kepada pergerakan bahagian tubuh badan terutama pada sendi buka-tutup dan pusing putar. Pergerakan bukan lokomotor juga di ertikan sebagai keupayaan mengerakan bahagian tubuh badan tanpa beralih tempat. Oleh yang demikian pergerakan bukan lokomotor merupakan pergerakan yang tidak mengubah dasar menyokong pelaku pergerakan. Antara contoh pergerakan bukan lokomotor ialah berdiri, duduk, gusti tangan, enjet-enjet semut, berlari setempat, tepuk amai-amai, menaik setempat, mengilas sambil tepuk tangan, tarik dan tahan rakan serta tekan tubi.
4.3 Manipulasi Alatan
Manupulasi alatan ialah aktiviti yang mana mempergunakan alatan dengan cara yang betul dan cekap untuk membentuk gerakan. Kemahiran ini memerlukan penggunaan angota badan untuk mengawal, megawasi atau menangani sesuatu objek. Kemahiran manipulasi alatan merupakan asas kepada kemahiran sukan yang perlu dibina daripada peringkat kanak-kanak. Kemahiran asas manipulasi alatan dapat meningkatkan kordinasi angota badan contohnya tangan- mata, kaki mata dan lain-lain.
Manipulasi alatan mestilah melibatkan objek seperti pundi kacang, melanton bola sambil berjalan, berjalan sambil mengimbang bola di kaki, skipping sambil berlari, menggerakkan reben dan memusingkan gelung dengan tangan.  Ketiga-tiga elemen ini dapat diaplikasikan di dalam pergerakan kreatif. Ini kerana di dalam pergerakan kreatif ia memerlukan ketiga-tiga pergerakan tersebut untuk melakukan dan menghasilkan suatu pergerakan yang kreatif. Sebagai contoh, guru melakukan suatu aktiviti kepada kanak-kanak yang mana aktiviti itu dapat merangsang kanak-kanak menggunakan keseluruhan tubuh badan mereka untuk bergerak. Antaranya ialah dengan cara memberi mereka mendengar alunan muzik. Apabila mereka mendengar muzik, minda mereka akan terangsang dan keghairahan mereka untuk melakukan pergerakan akan timbul tambahan pula mereka diberi kebebasan oleh guru dalam berkreativiti. Oleh sebab itu, mereka akan menggunakan ketiga-tiga elemen tersebut untuk melakukan pergerakan seperti menari, bertepuk tangan, berlari, berjalan dan lain-lain pergerakan lagi. Kesemua pergerakan inilah yang dipanggil pergerakan kreatif.

0 comments:

Lokomotor

Pergerakan Lokomotor

Pergerakan Kreatif

Pergerakan Kreatif

Slaid Pergerakan

Slaid Pergerakan